SERDANG, 25 Mac - Sebanyak 29 subjek Universiti Putra Malaysia (UPM) meliputi lima bidang utama iaitu Kejuruteraan (Engineering), Sains Semula Jadi (Natural Sciences), Sains Hayat dan Perubatan (Life Sciences & Medicine), Seni dan Kemanusiaan (Arts & Humanities) serta Sains Sosial dan Pengurusan (Social Sciences & Management) berjaya disenaraikan dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS WUR) by Subject 2026 yang diumumkan pada 25 Mac 2026.
Antara pencapaian yang terus menyerlah ialah bidang Sains Veterinar (Veterinary Science) yang kekal dalam kelompok terbaik dunia dengan kedudukan ke-38, sekali gus mencerminkan reputasi konsisten sebagai subjek nombor satu di Malaysia selama lima tahun berturut-turut dan di Asia selama tiga tahun berturut-turut. Selain itu, subjek Pertanian dan Perhutanan (Agriculture and Forestry) turut mengekalkan prestasi cemerlang apabila berada dalam kelompok 100 terbaik dunia di kedudukan ke-64. Pencapaian ini bukan sahaja mempertahankan statusnya sebagai subjek terbaik di Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, malah turut menempatkannya di kedudukan ke-10 terbaik di Asia dalam penilaian kali ini.
Selain itu, UPM turut merekodkan perkembangan positif apabila dua subjek baharu berjaya menembusi penarafan dunia buat kali pertama. Bidang Kejururawatan (Nursing) mencatat kedudukan 151-225 terbaik dunia, manakala Sains Data & Kecerdasan Buatan (Data Science & Artificial Intelligence) berada pada kedudukan 101-200 terbaik dunia. Pencapaian ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kekuatan akademik dan penyelidikan UPM dalam bidang-bidang baharu yang sejajar dengan keperluan global serta perkembangan pesat teknologi dan sektor kesihatan.
Universiti Putra Malaysia terus menunjukkan momentum positif dalam penilaian broad subject area, dengan beberapa bidang utama mencatat peningkatan kedudukan. Seni dan Kemanusiaan (Arts & Humanities) melonjak ke kedudukan 252 dunia daripada 291 sebelum ini, Sains Hayat dan Perubatan (Life Sciences & Medicine) meningkat ke 154 dunia daripada 158, manakala Sains Sosial dan Pengurusan (Social Sciences and Management) naik ke 170 dunia berbanding 183 pada penarafan sebelumnya. Peningkatan ini membuktikan dedikasi UPM dalam memperkukuh mutu pengajaran, penyelidikan dan sumbangan intelektual di peringkat antarabangsa, selari dengan aspirasi universiti untuk terus kekal relevan dalam landskap akademik global.
Secara keseluruhannya, pencapaian UPM dalam QS WUR by Subject 2026 terus menunjukkan peningkatan yang membanggakan dengan 20 subjek berjaya tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia berbanding 19 subjek pada tahun sebelumnya. Selain itu, 7 subjek mencatat peningkatan kedudukan, manakala 12 subjek lagi kekal stabil, sekali gus menggambarkan ketekalan dan daya saing universiti di peringkat antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai keputusan QS WUR by Subject 2026, sila layari laman web rasmi: https://www.topuniversities.com/subject-rankings






