?? | Universiti Putra Malaysia_bet36体育在线

bet36体育在线

图片

UPM anjur Program Mawaddah Ramadan 7.0 semarakkan kebersamaan warga kampus

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 12 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) menganjurkan Program Mawaddah Ramadan 7.0 sempena Musa’adah Ramadan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus melalui aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan.

 

Program yang berlangsung di perkarangan Menara Putra, Warisan Budi UPM itu  diadakan dengan kerjasama Chapter Alumni YOSH UPM, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM (PKPP).

 

Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar, berkata program tersebut menghimpunkan warga universiti, alumni dan sukarelawan dalam aktiviti rewang memasak bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada warga kampus serta disumbangkan sebagai juadah berbuka puasa kepada pelajar Asasi Sains UPM (ASPutra).

 

“Program Mawaddah Ramadan ini merupakan antara inisiatif tahunan ARCUPM bagi memperkukuh hubungan antara alumni, warga universiti dan pelajar melalui aktiviti kebajikan serta pengimarahan bulan Ramadan,” katanya.

 

Tambah beliau, kolaborasi bersama Chapter Alumni YOSH UPM, AKM serta rakan strategik seperti Faiza Sdn. Bhd. turut membuka ruang kepada alumni untuk terus menyumbang kembali kepada universiti dan berkongsi semangat kebersamaan dengan warga kampus.

 

“Saya mewakili pihak penganjur ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Salwa Abu Bakar, Alumni UPM kelas 1983 dan 1988 merangkap Pengurus Besar Kanan Faiza Sdn. Bhd., dan juga semua alumni UPM yang memberi sumbangan dan sokongan bagi menjayakan program ini,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada alumni UPM yang terus menyokong pelbagai program kebajikan universiti mencerminkan semangat ukhuwah dan komitmen alumni untuk menyumbang kembali kepada alma mater.

 

Pengarah PKPP merangkap Penasihat Chapter Alumni YOSH UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, berkata program tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti universiti, alumni dan masyarakat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti kesukarelawanan.

 

“Program seperti ini selaras dengan hasrat universiti dalam melahirkan warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepedulian sosial, semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam masyarakat sekaligus menyemarakkan semangat jiwa putra,” katanya.

 

Dalam pada itu, Presiden Chapter Alumni YOSH UPM, Nur Asyiqin Ramli, berkata inisiatif Rewang Bubur Lambuk ARCUPM bersama Chapter Alumni YOSH UPM berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan komuniti universiti.

 

“Program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi rewang dalam masyarakat, disamping itu menerusi program turut menyampaikan perkongsian ilmu mengenai kenegaraan daripada AKM, kerjasama dan keprihatinan dalam kalangan warga UPM sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato’ Sri Jailani Johari; Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu dan Penolong Pengarah AKM Selangor, Muhammad Nazirul Hafiz Sailal.

WZECFAU~