Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 5 April - Universiti Putra Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi apabila penyelidiknya, Professor Dr. Chm. Janet Lim Hong Ngee, meraih Anugerah Perak (Kategori Cap Dagangan) pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia, baru-baru ini.
Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM, menerima pengiktirafan tersebut menerusi inovasi GrafinTok®? Engine Oil Booster yang menampilkan keupayaan penjenamaan harta intelek berimpak tinggi serta mempunyai potensi pengkomersialan yang signifikan.
Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, berkata kejayaan itu mencerminkan kekuatan ekosistem inovasi universiti dalam mengintegrasikan penyelidikan, perlindungan harta intelek dan strategi penjenamaan bagi menghasilkan produk berdaya saing di pasaran.
“Sokongan berterusan universiti terhadap usaha penyelidik membolehkan impak inovasi diperluas ke peringkat komersial.
“Pencapaian ini turut mengukuhkan reputasi UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam pembangunan teknologi, inovasi serta pengurusan harta intelek bertaraf nasional dan global,” katanya.
Inovasi tersebut dibangunkan sebagai sebahagian daripada ekosistem startup di bawah program InnoHub PSP secara langsung memperlihatkan peranan universiti dalam memacu pemindahan teknologi serta pengkomersialan hasil penyelidikan ke peringkat industri.
Dalam pada itu, AHIN 2026 merupakan platform pengiktirafan tertinggi negara yang menghargai pencipta dan inovator tempatan dalam menjadikan harta intelek sebagai aset strategik ekonomi.






