Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 8 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Promosi UPM Bersama Media 2025 sebagai usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan pihak media.
Majlis ini telah menghimpunkan wakil-wakil daripada pelbagai platform media termasuk media cetak, elektronik dan online sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam mengetengahkan pencapaian dan inisiatif universiti.
Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pentingnya peranan media dalam membantu UPM menyampaikan agenda ilmu, pertanian dan kelestarian kepada masyarakat.
“Media bukan sekadar saluran maklumat tetapi rakan strategik dalam memperluaskan capaian dan impak institusi pendiidkan tinggi kepada negara dan dunia,” katanya.
Majlis ini turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Media 2024 yang membuat liputan signifikan dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu.
Penerima anugerah tersebut mengikut kategori ialah Liputan Media Tertinggi oleh Berita Harian, Liputan Bahasa Melayu Tertinggi; Utusan Malaysia, Liputan Bahasa Inggeris Tertinggi; The Star, Liputan Bahasa Mandarin Tertinggi; China Press, Liputan Penyelidikan Tertinggi; Harian Metro, Liputan TV Tertinggi; Astro Awani, Liputan Online Tertinggi; Pertubuhan Berita Nasional Berhad (BERNAMA) dan Liputan Radio Tertinggi; BFM 89.9
Turut diberi penghargaan antaranya KOSMO! Digital, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Buletin TV3, Malaysia Gazette dan Sinar Harian (Sinar Bestari) atas media mention UPM sepanjang tahun lalu.
Timbalan Pengarah, Bahagian Berita dan Ehwal Semasa, RTM, Md Shahri Saripan berkata, program sebegini memberi ruang kepada media untuk lebih dekat dengan dunia akademik dan membina kerjasama strategik yang bermanfaat.
“Program sebegini adalah pendekatan yang baik dan sebagai agensi media kita sentiasa memberi peluang dan ruang kepada mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengadakan kolaborasi bersama dan sebagai media awam,saya merasakan ini adalah satu langkah baik untuk diteruskan,” katanya.
Editor Buletin TV3, Abdul Halim Mohamed berkata program seumpama ini sebagai satu pengiktirafan kepada media yang mampu mengeratkan hubungan dengan universiti terkemuka seperti UPM.
“Kita tahu UPM merupakan satu universiti yang tidak asing dalam negara dan pengiktirafan kepada media merupakan sesuatu yang sangat dihargai, secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan antara UPM dan juga media untuk kita bekerjasama dengan lebih rapat lagi selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Editor Digital Media BERNAMA, Zalina Maizan Ngah berkata platform sebegini adalah pentingnya dalam merapatkan institusi pendidikan tinggi dengan agensi media.
“Ini satu inisiatif yang baik dalam mendekatkan universiti bersama media dan sebagai pengamal media saya menghargai usaha universiti menghimpunkan pelbagai agensi media dalam satu program yang sama membolehkan perkongsian maklumat secara langsung berlaku,” katanya.
Seramai 15 orang ahli akademik dan empat orang pegawai bukan akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2024.
Dalam pada itu, program anjuran Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM sebagai usaha mengalakkan warga UPM terus menyumbang kepakaran kepada masyarakat melalui media massa sama ada berkongsi kepakaran atau penulisan artikel kepakaran.