?? | Universiti Putra Malaysia_bet36体育在线

bet36体育在线

图片

UPM teroka kaedah kontraseptif oral kawal populasi kera secara lestari

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 8 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) terus mengorak langkah sebagai peneraju penyelidikan pengurusan hidupan liar apabila membangunkan kaedah kontraseptif oral bagi mengawal populasi kera secara lebih berperikemanusiaan dan lestari.

 

Inisiatif penyelidikan yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) itu menarik perhatian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) apabila Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, mengadakan lawatan kerja ke FPV UPM semalam bagi meninjau perkembangan projek rintis tersebut.

 

Lawatan berasaskan bukti (evidence-based visit) itu diadakan susulan isu konflik manusia dan kera yang semakin membimbangkan serta pernah dibangkitkan di Parlimen, khususnya melibatkan gangguan kera di kawasan penempatan dan bandar.

 

Syed Ibrahim berkata, konflik manusia dan hidupan liar berlaku akibat pengecilan habitat semula jadi serta perubahan tingkah laku haiwan yang dipengaruhi aktiviti manusia, termasuk amalan memberi makanan kepada kera.

 

“Apabila haiwan liar terbiasa diberi makan, ia menjadi semakin berani menghampiri manusia dan keadaan ini akhirnya meningkatkan risiko konflik,” katanya.

 

Dekan FPV, UPM, Profesor Dr Goh Yong Meng, berkata kerjasama strategik antara NRES, PERHILITAN dan UPM dapat diperkukuhkan pada masa hadapan dalam usaha membangunkan pendekatan nasional yang lebih lestari bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar.

 

“Kerjasama ini berpotensi menghasilkan penyelesaian yang lebih holistik dan berkesan, sekali gus menyumbang kepada usaha pemuliharaan hidupan liar serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

 

Dalam sesi taklimat di FPV UPM, Pensyarah Kanan, Jabatan Praklinikal Veterinar, FPV, UPM, Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan, membentangkan hasil kajian pembangunan umpan kontraseptif oral yang menggunakan gabungan hormon ethinyl estradiol dan levonorgestrel iaitu bahan yang lazim digunakan dalam ubat kawalan kehamilan manusia.

 

Beliau yang juga mempunyai kepakaran dalam pengurusan hidupan liar berkata, hormon tersebut dimasukkan ke dalam umpan makanan bagi menghalang penghasilan hormon pembiakan kera betina, sekali gus membantu mengawal kadar pembiakan populasi kera secara tidak invasif.

 

“Hasil ujian awal mendapati umpan kontraseptif ini menunjukkan keberkesanan pada peringkat in vitro dan in vivo selain boleh dihentikan kesannya apabila pemberian hormon dihentikan,” katanya.

 

Tambah beliau, kajian yang dibiayai melalui Dana Konservasi Amanah Negara (NCTF) di bawah NRES dengan kerjasama PERHILITAN itu turut berjaya menentukan formulasi dan dos sesuai sebelum diaplikasikan di lapangan.

 

“Projek bernilai kira-kira RM400,000 itu kini telah selesai dilaksanakan dan laporan akhir telah dikemukakan kepada PERHILITAN, manakala fasa seterusnya melibatkan usaha mendapatkan dana tambahan bagi pelaksanaan aplikasi lapangan.

 

“Pendekatan yang dibangunkan UPM itu dilihat berpotensi menjadi alternatif lebih mampan berbanding kaedah tradisional seperti penangkapan dan pemindahan kera yang hanya bersifat sementara,” katanya.

 

Dalam pada itu, turut diadakan lawatan di Muzium Anatomi Haiwan dan Kompleks Hospital Veterinar Universiti di FPV, UPM.

WZFOBA~