Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 27 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh hubungan akademik Malaysia–Kazakhstan menerusi satu pertemuan berimpak tinggi bersama Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Republik Kazakhstan, TYT Mohd Adli Abdullah.
Pertemuan hormat itu melibatkan delegasi PUTRA International Centre (i-PUTRA) yang diketuai Pengarah i-PUTRA, Prof. Dr. Alyani Ismail, bersama Timbalan Pengarah (Pengurusan), i-PUTRA, Shahriah Membar, bersempena lawatan rasmi delegasi ke Almaty.
Program itu diadakan seiring lawatan Duta Besar ke Almaty dari 21 hingga 24 April bagi menghadiri Kazakhstan International Tourism Fair 2026, menajdi platform strategik berimpak tinggi dalam memperkukuh diplomasi Pendidikan Malaysia di Rantau Asia Tengah.
Prof. Dr. Alyani berkata, perbincangan kedua-dua pihak tertumpu kepada penerokaan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, termasuk mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama berimpak tinggi serta pembangunan program akademik bersama yang selari dengan keperluan global semasa.
“Inisiatif yang digerakkan melalui i-PUTRA berperanan sebagai pemangkin dalam memperluas jejak akademik Malaysia di Kazakhstan.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh jaringan dua hala malah membuka ruang kepada pemindahan ilmu, inovasi dan pembangunan bakat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, pertemuan tersebut turut mencerminkan aspirasi bersama untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai jambatan diplomasi yang mampan serta mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang berdaya saing.






