
SERDANG, 6 Mei - Sorakan penonton dan persembahan penuh bertenaga 12 finalis mewarnai pentas Grand Finale Senada Putra: Suara Putraku Ke-19 yang berlangsung di Panggung Percubaan PKKSSAAS, sekali gus membuktikan bakat seni suara dalam kalangan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) terus berkembang dan mendapat tempat.
Pertandingan yang memfokuskan penyertaan pelajar Tahun Satu melibatkan pelbagai bidang pengajian itu menjadi platform penting dalam mencungkil serta mengasah bakat nyanyian mahasiswa melalui pendekatan seni, kokurikulum dan pembangunan sahsiah.
Johan pertandingan dimenangi Mohamad Haikal Aiman Abdullah dari Kolej Canselor, manakala tempat kedua disandang Bibi Rosdiana Ibrahim Ali dari Kolej Dua Belas dan tempat ketiga dimenangi Nur ‘Aina Safiyyah Radzi, juga dari Kolej Canselor.
Pertandingan akhir tersebut diadili barisan juri profesional terdiri daripada Dato’ Ramli MS, Dato’ Mokhzani Ismail dan Aisha Retno.
Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Husalshah Rizal Hussian, berkata program tersebut bukan sekadar platform pertandingan nyanyian, malah medium membentuk keyakinan diri dan karakter mahasiswa sejak awal kemasukan ke universiti.

“Program ini bukan sahaja melatih seni suara, tetapi turut membentuk karakter, disiplin dan keyakinan diri pelajar kerana mereka didedahkan lebih awal kepada proses latihan, persembahan dan pembinaan sahsiah melalui seni budaya.
“Melalui Akademi Seni Senada Putra, peserta bukan sahaja belajar teknik vokal dan penghayatan lagu, tetapi juga nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan profesionalisme,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran program itu turut menjadi platform melahirkan pelapis bakat seni universiti yang mampu diketengahkan dalam program rasmi universiti serta pertandingan di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Mohamad Haikal berkata kemenangan tersebut menjadi pengalaman paling bermakna buat dirinya memandangkan persaingan kali ini amat sengit dengan setiap finalis mempunyai kekuatan tersendiri.
“Saya memang minat menyanyi sejak kecil dan sudah tahu tentang Senada Putra sejak di sekolah lagi. Apabila masuk UPM, saya memang bercita-cita mahu menyertai program ini untuk belajar lebih mendalam tentang seni suara dan persembahan pentas.

“Saya benar-benar tidak sangka boleh menjadi juara kerana semua peserta sangat hebat dan memberi persembahan terbaik,” katanya.
Program tersebut bermula dengan sesi uji bakat pada Oktober tahun lalu yang menarik penyertaan lebih 100 pelajar sebelum disaring ke peringkat separuh akhir melibatkan 34 peserta terbaik.
Peserta turut mengikuti beberapa fasa Akademi Seni Senada Putra merangkumi latihan vokal, pemantapan persembahan dan pembinaan karakter dalam nyanyian yang dikendalikan tenaga profesional industri seni termasuk dari Istana Budaya.
Selain tiga pemenang utama, pertandingan turut menyaksikan Muhammad Aizam Syafiq Huzairi, Kolej Canselor menerima Anugerah Khas Choco Albab, Constantine Allan Henry, Kolej 14 memenangi Anugerah Persembahan Terbaik, manakala Qudra Aleeya Maiysara Salfian, Kolej Tun Dr Ismail membawa pulang Anugerah Kostum Terbaik serta Anugerah Peserta Akademi Seni Senada Putra Terbaik Keseluruhan. Kolej Canselor pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Produksi Kolej Terbaik.






