Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Minat yang mendalam terhadap pengaturcaraan komputer menjadi pemangkin semangat kepada seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membawa perubahan dalam bidang pertanian.
Prof. Madya Dr. Christopher Teh Boon Sung, yang kini bertugas di UPM, berkongsi bahawa impiannya sejak awal adalah untuk menceburi bidang sains komputer atau kejuruteraan komputer. Namun, takdir membawanya menyambung pengajian dalam bidang pertanian di UPM yang membuka peluang yang lebih luas.
“Saya tidak melihat ia sebagai halangan, sebaliknya sebagai peluang untuk menggabungkan minat saya dalam komputer dengan keperluan dunia pertanian yang semakin moden,” katanya.
Menurutnya, semasa mengikuti pengajian, beliau mula menyedari bahawa bidang pertanian sangat luas dan fleksibel. Ini membuka ruang kepadanya untuk meneroka aplikasi teknologi digital, termasuk pembangunan perisian yang mampu menyokong aktiviti pertanian secara lebih cekap dan berimpak tinggi.
“Apa yang saya perhatikan, kebanyakan pengamal dalam pertanian menggunakan perisian sedia ada. Namun, tidak ramai yang mempunyai kemahiran membangunkan atau mengubah suai perisian mengikut keperluan tempatan. Ini satu jurang yang perlu diisi,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Pengajaran 2024.
Tambahnya, jika dibandingkan dengan negara maju, Malaysia masih ketinggalan dari segi keupayaan membangunkan model komputer untuk tujuan penyelidikan dalam pertanian. Di luar negara, ramai pengkaji dalam bidang ini, meskipun tanpa latar belakang formal dalam teknologi, mampu membangunkan model-model tersebut.
Melalui kepakarannya, beliau kini terlibat dalam bidang kritikal seperti agrometeorologi dan pengukuran emisi gas rumah hijau. Bidang ini memerlukan gabungan pengetahuan pertanian dan teknologi data.
“Saya berharap dapat melahirkan graduan pertanian yang bukan sahaja mahir dalam teori tradisional, tetapi juga celik teknologi, dan mampu memacu pertanian moden secara lestari,” ujarnya.
Baginya, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui kecanggihan algoritma atau model yang dibangunkan, tetapi melalui penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan petani serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.