
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 28 April – Penipuan siber di Malaysia kekal pada tahap membimbangkan walaupun jumlah keseluruhan insiden menunjukkan penurunan pada suku akhir 2025.
Pensyarah Kanan, Jabatan Multimedia, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nuur Alifah Roslan, berkata laporan MyCERT merekodkan 1,881 insiden siber bagi suku keempat 2025, menurun tujuh peratus berbanding suku sebelumnya.
“Trend semasa menunjukkan penjenayah siber kini lebih menumpukan kepada manipulasi manusia berbanding kelemahan sistem teknologi.
“Serangan hari ini bukan sekadar godam sistem, tetapi memperdaya mangsa untuk bertindak sendiri seperti klik pautan palsu atau memindahkan wang,” katanya.
Tambah beliau, phishing kekal sebagai bentuk penipuan paling dominan, diikuti penyamaran identiti (impersonation dan spoofing), e-mel palsu, laman web palsu serta penipuan pekerjaan.
“Kaedah ini mudah dilaksanakan dan kosnya rendah, tetapi memberi pulangan tinggi kepada penjenayah,” katanya.

Dr. Nuur Alifah berkata, sindiket kini semakin canggih dengan menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan untuk mempengaruhi mangsa melalui panggilan telefon yang meyakinkan.
“Malaysia telah menubuhkan National Scam Response Centre (NSRC) yang menyediakan talian 997 bagi mempercepatkan tindakan terhadap kes penipuan.
“Konsep ‘golden hour’ sangat penting. Lagi cepat laporan dibuat, lagi tinggi peluang untuk menyelamatkan wang mangsa,” katanya.
Selain itu, ramai disaran mengamalkan prinsip “berhenti, semak dan sahkan” bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut menegaskan, pendekatan keselamatan siber perlu lebih berfokus kepada manusia melalui pendidikan dan kesedaran.
“Keselamatan digital bermula dengan tingkah laku serta rakyat perlu lebih skeptikal dan sentiasa semak sebelum bertindak,” katanya.






