Oleh: Husnina Zahra Hadri

SERDANG, 3 Mac – Isu kenaikan harga makanan kembali menjadi perhatian setiap kali menjelang Ramadan apabila pengguna mendakwa harga ayam, daging dan sayur-sayuran meningkat dalam tempoh singkat di pasar serta bazar Ramadan.
Bagaimanapun, pakar ekonomi pertanian menjelaskan fenomena tersebut bukan berpunca daripada manipulasi harga semata-mata, sebaliknya didorong oleh lonjakan permintaan bermusim yang tidak dapat ditampung serta-merta oleh bekalan.
Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Norsida Man, berkata dalam ekonomi pertanian, situasi ini dikenali sebagai lonjakan permintaan bermusim apabila permintaan meningkat secara mendadak, namun pengeluaran tidak boleh ditingkatkan dalam masa singkat.
“Pengeluaran pertanian bergantung pada kitaran tanaman, tempoh pembesaran ternakan, faktor cuaca serta kos input seperti makanan ternakan dan baja. Apabila permintaan melonjak dengan pantas tetapi bekalan tidak dapat bertindak balas pada kadar sama tekanan harga akan berlaku,” katanya.
Selain itu, keadaan itu bukan bermakna berlaku ketiadaan bekalan sepenuhnya, sebaliknya wujud kekurangan relatif apabila lebih ramai pengguna bersaing mendapatkan barangan yang sama dalam tempoh singkat.

Profesor Dr. Norsida berkata Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, malah menjadi musim kulinari yang menyaksikan peningkatan ketara permintaan terhadap ayam, daging, santan, gula serta bahan asas masakan lain.
“Perkongsian resipi dan promosi bazar Ramadan di media sosial turut merangsang pembelian isi rumah serta peniaga makanan,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga runcit jarang berpunca sepenuhnya daripada pengeluar di peringkat ladang.
“Terdapat pelbagai komponen dalam rantaian bekalan makanan termasuk kos pengangkutan dan bahan api, margin pemborong serta peruncit, selain faktor kehilangan pasca tuai. Harga runcit bukan gambaran langsung kepada keuntungan petani,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan tempahan menjelang Ramadan turut memberi tekanan kepada sistem logistik dan pengedaran.
“Pergerakan stok yang lebih pantas, penggunaan tenaga kerja tambahan serta kos operasi yang meningkat boleh menyumbang kepada kenaikan harga. Dalam keadaan tertentu, pembelian panik pengguna juga memburukkan ketidakseimbangan pasaran,” katanya.

Selain faktor domestik, Profesor Dr. Norsida berkata, kebergantungan kepada import bagi beberapa komoditi asas menyebabkan harga tempatan terdedah kepada turun naik pasaran global.
“Faktor luaran seperti kadar pertukaran mata wang, kos import dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa turut mempengaruhi harga makanan dalam negara,” katanya.
Sementara itu, beliau menyarankan pengguna mengamalkan perbelanjaan berhemah melalui perancangan menu dan pembelian mengikut keperluan bagi mengurangkan pembaziran serta tekanan terhadap sistem bekalan makanan.
“Pemahaman terhadap dinamika permintaan bermusim dan struktur rantaian bekalan penting agar masyarakat dapat melihat isu kenaikan harga secara rasional tanpa menyalahkan mana-mana pihak secara mutlak.
“Ramadan mengajar konsep wasatiyyah atau kesederhanaan. Perancangan yang realistik boleh membantu menstabilkan permintaan dan mengurangkan tekanan harga,” katanya.






