?? | Universiti Putra Malaysia_bet36体育在线

bet36体育在线

图片

Konflik Amerika Syarikat–Iran gegar ekonomi global, negara berdepan tekanan inflasi dan risiko bekalan makanan

Ringkasan Artikel

Ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat berpotensi memberi kesan meluas kepada ekonomi global termasuk Asia dan Malaysia, dengan impak ketara terhadap harga minyak, inflasi serta keterjaminan makanan.

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 17 Mac – Ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat berpotensi memberi kesan meluas kepada ekonomi global termasuk Asia dan Malaysia, dengan impak ketara terhadap harga minyak, inflasi serta keterjaminan makanan.

 

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Taha Mohd Omar, berkata konflik tersebut lazimnya mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global apabila pelabur beralih daripada aset berisiko seperti saham kepada aset selamat seperti emas dan dolar Amerika Syarikat.

 

“Situasi ini menyebabkan pasaran menjadi tidak stabil, tekanan inflasi meningkat dan dalam banyak keadaan pertumbuhan ekonomi global mula perlahan. Impaknya bukan hanya tertumpu di Timur Tengah tetapi dirasai hampir di seluruh dunia,” katanya.

 

Tambah beliau, kesan paling segera dapat dilihat melalui lonjakan harga minyak, khususnya apabila terdapat risiko gangguan di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan tenaga dunia.

 

 

“Kenaikan harga minyak memberi tekanan besar kepada negara Asia yang bergantung kepada import tenaga. Kos bahan api meningkat, tarif elektrik boleh naik dan akhirnya harga barang serta perkhidmatan turut terkesan,” katanya.

 

Menurutnya, konflik itu juga menjejaskan sektor perdagangan apabila kos penghantaran dan insurans meningkat, selain tempoh penghantaran yang lebih panjang.

 

“Keadaan ini memberi tekanan kepada sektor pembuatan dan eksport, terutamanya industri yang bergantung kepada tenaga dan logistik,” katanya.

 

Dalam konteks Malaysia, Dr. Taha Mohd Omar berkata, negara berdepan situasi bercampur apabila kenaikan harga minyak boleh meningkatkan hasil petroleum namun pada masa sama meningkatkan beban subsidi dan kos sara hidup rakyat.

 

“Keperluan kerajaan untuk memperkukuh dasar subsidi yang lebih bersasar serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil melalui pembangunan tenaga alternatif.

 

“Dalam jangka pendek, kita mungkin melihat tekanan inflasi melalui kos pengangkutan dan makanan. Sentimen pelabur juga boleh terjejas, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit dan pasaran saham tempatan,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, Prof. Dr. Norsida Man, berkata konflik berpanjangan di Asia Barat turut memberi risiko besar kepada keterjaminan makanan global.

 

 

 

“Gangguan terhadap laluan perdagangan utama seperti Terusan Suez boleh melambatkan penghantaran komoditi penting termasuk gandum, jagung dan minyak masak. Peningkatan kos minyak dan pengangkutan akan menaikkan harga makanan global,” katanya.

 

Tambah beliau, Malaysia antara negara yang terdedah kepada risiko tersebut kerana masih bergantung kepada import bagi beberapa komoditi utama seperti gandum, daging dan makanan ternakan.

 

“Walaupun bekalan beras negara relatif stabil, kita masih bergantung kepada import bagi jenis makanan tertentu yang tidak sesuai ditanam secara domestik dan negara pengeksport juga berkemungkinan mengehadkan eksport bagi melindungi bekalan domestik masing-masing,” katanya.

 

Prof. Dr. Norsida berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar seperti Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan bagi memperkukuh bekalan domestik, termasuk melalui subsidi, insentif kepada petani serta pemantauan stok makanan.

 

Namun, katanya, cabaran utama masih wujud termasuk struktur sektor pertanian yang berskala kecil, tahap produktiviti yang belum optimum serta kebergantungan tinggi kepada import.

 

“Dasar sedia ada memadai untuk jangka pendek, tetapi perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya tahan jangka panjang dalam menghadapi kejutan geopolitik,” katanya.

 

Beliau menekankan usaha mengurangkan kebergantungan import perlu dilaksanakan secara strategik dan seimbang, termasuk mempelbagaikan sumber import, meningkatkan pengeluaran domestik bagi makanan kritikal serta membangunkan stok penimbal.

 

 

 

“Transformasi sektor pertanian melalui teknologi seperti pertanian pintar, automasi dan penggunaan data kecerdasan buatan perlu dipercepatkan bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

 

“Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pembangunan benih tahan cuaca serta pengukuhan rantaian bekalan domestik amat penting. Pada masa sama, pembaziran makanan juga perlu dikurangkan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Prof. Dr. Norsida turut mencadangkan kerjasama serantau dan perjanjian dua hala bagi memastikan bekalan makanan lebih stabil selain meletakkan keterjaminan makanan sebagai komponen keselamatan negara.

 

“Bekalan makanan bukan sekadar isu pertanian,tetapi kini menjadi sebahagian daripada keselamatan nasional yang perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya.

WZFEQAj~